FACEBOOK: ANIS SWEET CHOC

IlyaNis Rich

Saturday, December 12, 2009

HON

1. Hon ialah alat elektrik yang semestinya dipasang pada kenderaan untuk menarik perhatian pemandu kenderaan lain dari segi bunyi hon tersebut apabila diperlukan. Hon ditempatkan di bahagian hadapan ruang enjin, dan biasanya berpasangan untuk mendapatkan nada bunyi yang nyaring pada jarak-jarak tertentu supaya dapat didengar dengan baik.

2. Untuk mendapatkan bunyi yang nyaring, litar hon dipasang dengan geganti untuk meninggikan arus elektrik. Suis hon pada kenderaan masa kini dipasang pada roda stereng supaya dapat dibunyikan dengan cepat oleh pemandu apabila diperlukan.

3. Apabila suis hon ditekan, arus elektrik daripada bateri akan mengalir melalui gelung geganti ke bumi. Pada masa yang sama, medan magnet yang berada pada gegelung menarik angker ke bawah dan menutup titik sentuh dan membunyikan hon. Apabila suis hon dilepaskan, aliran arus elektrik dari bateri ke punca bumi diputuskan. Titik sentuh terbuka, dan memberhentikan bunyi hon.

4. Kegagalan pada hon kebiasaannya adalah seperti yang berikut:

a. Hon tidak berbunyi langsung

b. Nada hon tidak nyaring

c. Hon tidak henti berbunyi

Monday, November 23, 2009

Lampu isyarat tidak berfungsi (tidak menyala)

1. Periksa fius dalam kotak fius. Tukarkan jika ia terbakar dengan jumlah ampere yang sama seperti yang lama.

2. Mentol lampu isyarat rosak.

a. Keluarkan lampu isyarat yang gagal berfungsi dan perhatikan filamennya. Sekiranya filamen tidak putus, tentu ada sebab lain yang menyebabkan lampu isyarat tidak berfungsi. Jika filamen didapati terputus (terbakar), gantikan dengan yang baru.

2. Unit pengelip rosak

a. Ambil pemutar skru dan ketukkan unit pengelip perlahan-lahan untuk membuka titik sentuh yang berkemungkinan telah melekat dan tertutup.

b. Selepas itu, hidupkan enjin dan cuba hidupkan lampu isyarat sekali lagi. Sekiranya ia berfungsi, tindakan selanjutnya tidak diperlukan dan anda telah mengatasi masalah tersebut. Tetapi, sekiranya lampu isyarat masih tidak berfungsi, keluarkan unit pengelip dan gantikan dengan yang baru.

Sunday, November 22, 2009

Lampu brek tidak berfungsi

1. Jika kegagalan berlaku hanya pada lampu, ini mungkin disebabkan oleh mentol, atau dawai yang putus ataupun tidak disambung ke punca bumi.

2. Periksa litar dengan meter pelbagai untuk memastikan keadaan litar dalam keadaan baik. Cabut mentol dan periksa sama ada filamen putus atau sebaliknya. Tukarkan mentol jika ia didapati rosak (filamen putus).

3. Jika terdapat sambungan wayar yang terputus, sambungkan semula wayar yang terputus. Selepas itu, tekan injak brek sekali lagi. Pastikan ia mesti berfungsi (menyala).

Saturday, November 21, 2009

Cahaya lampu terang dan beransur malap semasa enjin laju

1. Perubahan cahaya berlaku pada perubahan keluaran arus daripada pengulang-alik. Semasa enjin laju, bateri sepatutnya mengecas untuk menampung cahaya lampu tetapi sebaliknya cahaya yang digunakan untuk memberi cahaya lampu datang dari pengulang-alik, dan apabila lampu dinyalakan bermakna arus dari pengulang-alik dipaksa menanggung beban. Oleh sebab itulah lampu kurang menyinar.

2. Jika keadaan ini berlaku, bateri perlu ditukar dengan yang baru untuk mengelakkan keadaan yang lebih sulit berlaku seperti enjin sukar untuk dihidupkan kerana kekurangan kuasa bateri (arus).

3. Ketul karbon pada pengulang-alik telah haus berlebihan.

a. Ketul karbon yang dipasang pada pengulang-alik ke pengatur. Semasa ketul karbon masih baru, arus yang dibawa untuk mengecas bateri berada pada tahap maksimum. Walau bagaimanapun, apabila ketul karbon haus setelah lama digunakan, aliran arus daripada pengulang-alik untuk mengecas bateri akan berkurangan. Ini seterusnya menyebabkan bateri tidak dapat dicas dengan sempurna.

b. Jika ini berlaku, tanggalkan terminal bateri dan keluarkan pengulang-alik daripada kenderaan. Lakukan kerja baik pulih ke atas pengulang-alik, dan tukarkan dengan ketul karbon yang baru.

Friday, November 20, 2009

Cahaya lampu malap

1. Bateri tidak cukup cas atau nyahcas, voltan dan arus yang mencukupi tidak disimpan.

a. Gunakan meter volt untuk mengetahui nilai voltan pada bateri tersebut. Seterusnya, gunakan penguji nyahcas tinggi untuk menguji setiap sel bateri berkenaan. Apabila ujian dibuat pada sel bateri penunjuk akan membaca 1-1.5 volt, maksimum 2 volt mengikut keadaan bateri.

b. Jika penunjuk tidak turun semasa ujian dibuat, ini menunjukkan bateri masih baik dan perlu dicas. Sekiranya semasa ujian dilakukan dan penunjuk membaca bacaan yang rendah dan selepas beberapa saat ia terus turun, ini menunjukkan sel bateri telah rosak. Oleh itu, bateri perlu ditukarkan dengan yang baru atau dengan bateri yang masih baik.

2. Pemantul telah usam setelah lama digunakan.

a. Pemantul yang usam menyebabkan kurangnya cahaya lampu (sinaran). Pada masa ini kebanyakan lampu besar menggunakan pemantul dan mentol yang digabungkan sebagai satu unit alur terkedap untuk mengelakkan pemantul terdedah kepada udara atau cecair, dan cepat rosak.

b. Untuk mengatasi masalah ini, tukarkan seunit lampu besar alur terkedap atau tukar mentol bagi lampu yang menggunakan alur tak kedap.

Thursday, November 19, 2009

Lampu tidak menyala

1. Bateri tidak disambung

Jika ini berlaku, periksa penyambungan pada terminal. Ikatkan dengan kukuh menggunakan sepana.

2. Terlalu banyak kerak karbon pada terminal bateri

Jika ini berlaku, keluarkan sambungan bateri dan bersihkan kerak karbon pada terminal dengan air panas. Sekiranya menggunakan kertas pasir untuk membuang karbon, jangan gosok sampai mengurangkan saiz terminal bateri.

3. Saiz lampu mungkin terbakar

Jika ini berlaku, buka kotak fius yang biasanya terletak berdekatan stereng di tepi sebelah kanan tempat duduk pemandu. Perhatikan keadaan fius lampu tersambung. Jika ini terbakar, gantikan fius dengan jumlah ampere yang sama, 15 A.

4. Sambungan lampu ke punca bumi terputus menyebabkan litar tidak lengkap.

Gunakan meter pelbagai untuk memeriksa litar lampu. Sambungkan litar atau wayar yang putus.

5. Filamen mentol mungkin terbakar

Biasanya, jika filamen terbakar, bahagian dalam lampu kelihatan kelabu (gelap) ataupun apabila dilihat dari jarak yang dekat filamen yang putus akan kelihatan. Jika ini berlaku, keluarkan lampu yang mengalami kerosakan daripada kenderaan. Periksa mentol dengan meter pelbagai. Gantikan lampu yang telah rosak dan pasangkan mengikut sambungan terminal yang betul sekiranya terminal dipasang secara tunggal.

Wednesday, November 18, 2009

Sistem lampu

1. Sistem lampu diadakan untuk membantu penglihatan pemandu kenderaan pada waktu malam. Sistem ini juga memberikan pancaran supaya kenderaan dapat dilihat oleh pengguna kenderaan lain di jalan raya untuk tujuan keselamatan.

2. Arus bateri dibekalkan kepada pelbagai komponen elektrik dalam sistem tersebut, terutamanya lampu besar. Kebanyakan lampu besar yang digunakan pada kenderaan mengandungi lampu alur rendah dan lampu alur tinggi yang masing-masing digunakan pada tempat yang tertentu sahaja.

3. Maksudnya di sini ialah lampu alur rendah digunakan pada kedudukan menunduk untuk menyuluh jalan pada jarak dekat, biasanya digunakan pada kedudukan di kawasan yang mempunyai lampu sepanjang jalan. Manakala lampu alur tinggi digunakan untuk menyulih jalan pada jarah jauh, biasanya digunakan di jalan raya yang gelap seperti kawasan luar bandar yang tidak dipasang dengan lampu di sepanjang jalan raya.

4. Kegagalan yang selalu terdapat pada sistem lampu adalah seperti yang berikut:

a. Lampu tidak menyala.

b. Cahaya lampu malap.

c. Cahaya lampu terang dan beransur malap semasa enjin laju.

d. lampu brek tidak berfungsi.

e. lampu isyarat tidak berfungsi (tidak menyala).

Sunday, November 15, 2009

Kedengaran bunyi bising semasa enjin dihidupkan

Gigi pinan haus

1. Keadaan ini menyebabkan pinan tidak dapat bercantum dengan roda tenaga dengan sempurna. Bunyi bising sering berlaku sejurus sahaja pinan hendak bercantum dengan roda tenaga kerana kelonggaran yang berlebihan.

2. Jika ini berlaku, keluarkan motor daripada kenderaan dan tukarkan pinan dan juga sesendal. Pasangkan semula semua komponen dan kemudian pasangkan motor pada enjin. Hidupkan enjin. Sekiranya motor penghidup enggan beroperasi tukarkan motor penghidup dengan yang baru.

Pemasangan motor pada enjin tidak kukuh

1. Setelah lama motor digunakan pada sesebuah enjin, ada kalanya bolt pengikat motor akan longgar. Ini boleh menyebabkan penjajarannya tidak betul.

2. Jika ini berlaku, naikkan kereta tersebut ke atas tanjakan dan periksa keadaan motor. Ikat atau ganti bolt yang longgar, dan hidupkan enjin.

3. Kerosakan pada gegelung angker seperti rintangan terlalu tinggi boleh menyebabkan voltan yang tinggi daripada bateri tidak dapat mengalir dan tidak mampu memusingkan roda tenaga.