FACEBOOK: ANIS SWEET CHOC

IlyaNis Rich

Friday, September 11, 2009

KARBURETOR DIBASAHI DENGAN BAHAN API SELEPAS MEMANDU

1. Ini selalunya, disebabkan oleh penebat (gasket) bahagian atas atau bahagian tengah karburetor yang terkoyak atau bocor, dan membolehkan bahan api terkeluar. Rombakan karburetor tersebut dan servis. Seterusnya pasang penebat atau gasket yang baru.

2. Apabila mengikat skru karburetor, jangan ikat terlalu kuat hingga merosakkan benang skru. Benang skru yang rosak boleh menyebabkan karburetor renggang sebelah, dan bahan api terkeluar.

ENJIN MUDAH DIHIDUPKAN TETAPI BERGEGAR DAN KEMUDIANNYA TERHENTI

1. Penapis udara tersumbat

Penapis udara tersumbat atau terdapat banyak habuk pada penapis tersebut boleh menyebabkan kemasukan udara ke pancarongga pengambilan tersekat dan seterusnya nisbah bahan api yang ideal tidak dapat dicapai khususnya semasa enjin melahu.

Jika ini berlaku keluarkan penapis udara daripada enjin dan periksa keadaan penapis tersebut sama ada masih boleh digunakan atau sebaliknya. Jika penapis udara tersebut kelihatan perlu dibersihkan, servis dengan pemampat bertekanan tinggi.

Sekiranya kertas kartrij untuk membuat penapis koyak atau basah teruk, ia perlu ditukar dengan yang baru dengan saiz yang sama. Penapis udara yang tidak betul saiznya pada enjin akan menyebabkan kerenggangan pada penapis tersebut. Ini seterusnya menyebabkan sebahagian daripada angin yang masuk ke pancarongga alur masuk tidak ditapis dan boleh menyebabkan habuk masuk ke silinder melalui injap kemasukan. Ini kemudiannya akan mengakibatkan dinding silinder bercalar hasil daripada pergerakan omboh turun dan naik dalam silinder, dan menguis habuk pada dinding silinder.

2. Paip vakum karburetor tercabut atau bocor.

Buka bonet kereta dan periksa semua paip cakum daripada dan kepada karburetor. Sekiranya terdapat paip vakum yang tercabut, sambungkan semula pada sambungan yang betul. Kadangkala terdapat kebocoran yang berlaku pada hos vakum yang boleh menyebabkan operasi enjin tidak lancar. Matikan enjin dan tukarkan jos berkenaan dengan hos yang baru. Selepas itu, hidupkan semula enjin dan pastikan enjin beroperasi dengan kelajuan yang lancar dan sempurna

Monday, September 7, 2009

ENJIN MATI DENGAN TIBA-TIBA

1. Kejadian seperti ini selalu berlaku apabila kenderaan berhenti semasa lampu isyarat berwarna merah, semasa kesesakan lalu lintas atau setelah memandu dengan kelajuan tinggi. Ini adalah disebabkan oleh pelaras melahu tidak dipusing dengan betul, dan campuran antara bahan api dengan angin terlalu kurang. Pendikit perlu dibuka dengan lebih luas supaya kelajuan enjin dapat stabil, dan jika injak dilepaskan enjin akan mati.

2. Jika ini berlaku, pusing skru melahu bahan api melawan pusingan jam sedikit demi sedikit sambil mendengar bunyi enjin sehingga kelajuannya bertambah laju, antara 700 – 750 ppm tercatat pada papan pemuka.


ENJIN KURANG BERKUASA

1. Pada amnya enjin kurang berkuasa disebabkan oleh beberapa perkara seperti kerosakan mekanikal ataupun elektrikal. Ini disebabkan oleh larasan bahagian petrol yang terlalu rendah daripada yang sepatutnya, dan seterusnya ini mengakibatkan enjin berkurangan kuasa.

2. Untuk mengatasi masalah ini, pusingkan skru melahu bahan api melawan pusingan jam. Hidupkan enjin dan laraskan kelajuan melahu, kemudian naikkan kelajuan pusingan enjin hingga 2500 – 3000 putaran per minit. Jika tidak kedengaran letupan daripada ekzos, maknanya enjin dalam keadaan baik. Uji pandu kereta tersebut untuk menguji kelajuan dan pecutan.

Sunday, September 6, 2009

ENJIN TIDAK DAPAT MELAHU DENGAN SEMPURNA

1. Masalah seperti ini selalunya disebabkan oleh jet melahu separauh tersumbat. Walaupun enjin beroperasi tetapi kelajuan (ppm) melahu tidak dapat dicapai lalu menyebabkan enjin tiba-tiba saja mati atau bergegar.

2. Jika ini berlaku, keluarkan karburetor daripada enjin, dan lakukan kerja baik pulih dengan alat yang sesuai. Masukkan komponen-komponen karburetor ke dalam dulang dan basuh dengan petrol. Kemudian sembur semua lubang talian bahan api dengan angin yang bermampat tinggi untuk membuang kotoran. Cucuk semua lubang talian bahan api dengan dawai halus untuk membuang kotoran. Pasangkan semula karburetor pada enjin dan laraskan kelajuan melahu dengan kadar bunyi yang halus dan sempurna jika tidak terdapat alat khas.


Saturday, September 5, 2009

KARBURETOR

1. Karburetor ialah komponen yang dapat mencampurkan bahan api dan udara ke dalam kebuk pembakaran. Bahan api yang dipam akan terus masuk ke dalam karburetor dan ditakung dalam kebuk apung.

2. Di dalam kebuk apung terdapat beberapa komponen lain seperti injap yang mengawal kemasukan bahan api ke karburetor, pencekik, injap kawalan kemasukan udara, injak pendikit, bebola, jet utama, jet pemelahuan dan penapis bahan api.

3. Di bahagian luar karburetor terdapat komponen pelaras karburetor, iaitu skru pelaras angin dan skru pelaras bahan api. Skru pelaras bahan api digunakan untuk melaras kuantiti bahan api. Manakala skru pelaras angin digunakan untuk melaras jumlah kemasukan angin yang akan dicampurkan dengan bahan api pada nisbah yang diperlukan mengikut kehendak dan keadaan enjin.

4. Jika kenderaan bergerak laju, nisbah campuran nisbah bahan api akan sampai ke tahap 13 – 14.7:1 (13 – 14.7 bahagian angin dan 1 bahagian bahan api) iaitu nisbah yang ideal untuk enjin kereta. Kedua-dua skru ini amat penting untuk menentukankelancaran operasi enjin. Selain itu, kedua-duanya boleh meninggikan atau merendahkan pusingan enjin.

5. Antara masalah yang mungkin timbul berkaitan dengan karburetor adalah seperti berikut:

a. Enjin tidak dapat melahu dengan sempurna.
b. Enjin kurang berkuasa.
c. Enjin mati dengan tiba-tiba.
d. Enjin mudah dihidupkan tetapi bergegar dan kemudiannya terhenti.
e. Karburetor dibasahi dengan bahan api selepas memandu.